Hanya sebuah kilang Top Glove masih beroperasi - Ismail Sabri

Hanya sebuah kilang Top Glove masih beroperasi – Ismail Sabri

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya sebuah kilang sarung tangan Top Glove masih beroperasi pada masa ini selepas kerajaan mengarahkan 28 kilang syarikat itu ditutup secara berperingkat bagi membolehkan para pekerja menjalani ujian saringan dan proses kuarantin. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, sebanyak 5,795 ujian saringan dilakukan dan 2,684 kes positif di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) itu direkodkan iaitu di asrama lelaki dan wanita pekerja syarikat berkenaan. 

Menurut beliau, satu pasukan Task Force diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove itu dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang. 

“Sehingga semalam, 20 kilang ditutup manakala tujuh lagi ditutup hari ini dan sebuah lagi akan menyusul. 

“Bagi mengelakkan penularan di kawasan komuniti, pihak  kilang juga diarahkan menjalankan saringan terhadap 2,263 pekerja yang tinggal di luar kawasan Temco dan akan dikuarantin,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. 

Ismail Sabri berkata, kesemua pekerja yang disaring dan didapati positif dihantar ke hospital untuk rawatan manakala yang negatif  dikuarantin di hotel-hotel yang ditetapkan seperti Hotel Gold Coast, Kelang Sentral dan Stadium di Pandamaran.

Beliau berkata, jumlah kes di kilang Top Glove itu merupakan penyumbang tertinggi kes Covid-19 di Selangor dan seluruh negara. 

Bagi tempoh semalam sahaja, katanya, jumlah kumulatif kes di seluruh negara adalah  sebanyak 2,188 dan daripada jumlah itu, 1,623 kes direkodkan di Selangor dan sebanyak 1,511 merupakan kes positif daripada kluster melibatkan kilang tersebut. 

“Pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pasukan Task Force khas itu akan sentiasa memantau dan membuat  penilaian dari semasa ke semasa,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, program isolasi pekerja kargo Lapangan Terbang  Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilaksanakan berikutan peningkatan kes positif daripada Kluster Kaya melibatkan pekerja MAS Kargo di KLIA. 

Katanya, program isolasi itu melibatkan seramai 360 pekerja MAS Kargo di KLIA yang sihat, tidak bergejala dan disahkan negatif berkuat kuasa esok (26 November) hingga 9 Disember ini. 

“Pekerja-pekerja ini akan ditempatkan di Tune Hotel KLIA Aeropolis dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan pemantauan pihak Kementerian Kesihatan, MKN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mengenai ujian saringan pekerja asing, Kementerian Sumber Manusia membentangkan pelan tindakan dan mekanisme bagi pelaksanaan ujian saringan tersebut antaranya menggunakan kaedah RTK-antigen dengan kos sebanyak RM60  ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi setiap ujian saringan. 

Untuk permulaan, katanya, ujian saringan difokuskan kepada pekerja asing di Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah melibatkan seramai 888,342 pekerja. 

“Kementerian akan menyediakan jadual terperinci bagi proses pelaksanaan program ini yang dijangka mengambil masa selama empat hingga enam minggu untuk diselesaikan. 

“Bagi fokus kedua, Kementerian akan menumpukan kepada penguatkuasaan penempatan dan perumahan pekerja warga asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang bermula esok,” katanya. 

Bagi majikan yang gagal mematuhi Akta 446 tersebut, jelas beliau, boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN