Hanya empat jemaah dibenarkan solat di Masjid As'syakirin - Utusan Malaysia

Hanya empat jemaah dibenarkan solat di Masjid As’syakirin

HANYA empat jemaah iaitu imam, bilal dan dua jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Syakirin Kampung Sri Gunung, Kulai berikutan terdapat penduduk kampung itu mempunyai kontak rapat dengan salah seorang individu positif Covid-19. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI : Hanya empat jemaah sahaja dibenarkan menggunakan Masjid As’syakirin Kampung Sri Gunung Pulai untuk menunaikan solat Jumaat berikutan terdapat kes Covid-19 di kawasan terbabit. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, keputusan itu dibuat selepas terdapat beberapa penduduk kampung berkenaan yang disahkan positif Covid-19.

“Penggunaan masjid ini ditutup buat orang awam, hanya empat jemaah sahaja dibenarkan menggunakannya iaitu imam, bilal dan dua orang makmum bagi solat lima waktu.

“Bagi mana-mana kawasan berisiko tinggi, itulah prosedur operasi standard (SOP) yang kita putuskan iaitu tidak lebih daripada empat jemaah.

“Bagi solat Jumaat minggu depan, kita akan tengok keadaan terkini terlebih dahulu sebelum Pejabat Kadi mengeluarkan arahan yang baharu,” katanya kepada pemberita ketika mẹmbuat lawatan di Kampung Sri Gunung Pulai, di sini hari ini. 

Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani dan Pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

 Difahamkan, imam masjid berkenaan antara beberapa individu yang disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan sebelum ini.

Dalam pada itu, pihak Penyelaras DUN Bukit Batu mengagihkan kepada lebih 160 keluarga berupa bantuan bekalan makanan seperti beras, minyak masak, gula, makanan kering dan sebagainya. 

Tosrin memberitahu, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menyampaikan bantuan berupa bantuan bekalan makanan bernilai RM100 setiap keluarga esok manakala Yayasan Sejahtera Kulai akan menyampaikan bantuan sama pada Isnin ini. 

Tambahnya, MAINJ juga akan mempertimbangkan bentuk bantuan lain yang boleh diberikan kepada penduduk kawasan itu yang hilang pekerjaan dan terjejas mata pencarian.

“Mereka yang hilang pendapatan atau hilang kerja secara tiba-tiba,  boleh maklumkan kepada pejabat MAINJ daerah untuk dipertimbangkan bantuan yang lain,” katanya. 

Dalam pada itu, Zainor berkata, Hutan Lipur Gunung Pulai akan ditutup sementara buat masa ini hingga diberitahu kelak.

“Pusat rekreasi itu akan ditutup kepada umum bagi faktor keselamatan hingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya