SHAH ALAM: Kerajaan negeri hari ini memaklumkan hanya mampu membekalkan 16 peratus air sahaja sekiranya krisis air berlaku secara besar-besaran.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, pihaknya mengakui jumlah itu sangat rendah kerana kerajaan negeri perlu mengambil kira pelbagai kos.
“Dengan kemampuan yang kita ada hanya boleh membekalkan air dalam jumlah itu sahaja seperti keadaan kecemasan seperti yang berlaku baru-baru ini.
“Itu pun selepas kita mengambil kira segala fasiliti seperti kos sewa dan bantuan lori tangki air dari negeri-negeri lain untuk menghantar bekalan air ke kawasan yang terjejas,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Lai Wai Chong di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Terdahulu Wai Chong bertanya berkenaan langkah kerajaan negeri ketika berhadapan krisis bekalan air seperti yang berlaku baru-baru ini.
Dalam pada itu, Izham yang juga ADUN Pandan Indah berkata, krisis bekalan air seperti yang berlaku baru-baru ini telah melibatkan Sungai Selangor telah menjejaskan lebih 60 peratus bekalan air kepada Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Ramai mengeluh mengatakan air belum dapat, namun satu perkara perlu difahami bila berlakunya krisis air yang besar di satu-satu kawasan, lori tangki bertanggungjawab untuk hantar air ke kawasan yang terjejas.
“Mereka kena keluar kawasan untuk mengambil air, proses ulang alik mengambil masa yang agak lama sekurang-kurangnya empat hingga ke lima jam. Tambahan lagi lokasinya jauh dan terpaksa berhadapan dengan kesesakan jalan raya,” ujarnya.
Tambahnya, sebagai langkah persediaan menghadapi krisis air akan datang, kerajaan negeri telah mencadangkan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) agar menyemak pili-pili awam yang sedia ada.
“Kita juga akan mengaktifkan kolam-kolam takungan sementara yang sedia ada. Setakat ini terdapat sekitar 100 kolam dan dalam proses untuk diaktifkan.
“Kolam ini akan dapat menampung bekalan air sekurang-kurangnya untuk tempoh dua hingga tiga hari sekiranya krisis bekalan air berlaku lagi.
“Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu bekalan air dengan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE