SEREMBAN: Hanya 11 daripada 5,000 majikan yang menggajikan pekerja asing di negeri ini telah membuat permohonan mendapatkan perakuan penginapan di bawah Akta Standard-Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sejak September lalu.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS), S. Tharumarajan berkata, setakat ini hanya lima majikan telah memperoleh perakuan penginapan tersebut yang melibatkan 122 unit penginapan manakala bakinya masih menunggu kelulusan.
“Lain-lain itu masih belum mengemukakan permohonan, itu yang membuatkan kami risau. Akta ini dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu dan peraturan dibuat pada 1 September dan sepatutnya majikan sudah mula membuat permohonan namun setakat ini 11 majikan sahaja.
“Kami rasa majikan-majikan ini belum membuat permohonan kerana mungkin merasakan bangunan mereka gunakan itu masih tidak lagi mematuhi kehendak undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Kalau mereka memohon kepada kami tanpa dapat kelulusan ubah suai daripada PBT, kami tidak akan beri perakuan penginapan, mungkin itu sebab mereka masih belum memohon,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Persekutuan dekat sini hari ini.
Katanya, pihak JTKNS telah menjalankan pemeriksaan ke atas hampir 1,000 penginapan pekerja sejak peraturan di bawah Akta 446 dikuatkuasakan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan tersebut mendapati sebahagian besar bangunan yang digunakan sebagai penginapan tidak mematuhi peruntukan Akta 446.
“Antara ketidakpatuhan yang dikesan adalah dari segi bangunan yang digunakan tidak sesuai untuk penginapan pekerja, kegagalan menyediakan kemudahan minimum yang telah diperuntukkan di bawah akta tersebut.
“Pekerja-pekerja juga ditempatkan dalam satu unit secara beramai-ramai yang mewujudkan keadaan sesak selain tahap kebersihan yang tidak memuaskan. Ini menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkenaan Covid-19 dan meningkatkan risiko wabak tersebut,” katanya.
Jelas Thamurajan, menyediakan kemudahan penginapan tanpa perakuan penginapan daripada pihak Jabatan Tenaga Kerja adalah satu kesalahan dan jika disabitkan, majikan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.
“Adalah diharapkan, majikan-majikan yang menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja di negeri ini untuk mematuhi peruntukan Akta 446 dengan membuat permohonan perakuan penginapan di JTKNS dengan kadar segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE