Hans mohon maaf, Eizlan serahkan kepada peguam - Utusan Malaysia

Hans mohon maaf, Eizlan serahkan kepada peguam

EIZLAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit, Datuk Hans Isaac membuat permohonan maaf kepada Datuk Seri Eizlan Yusof atas kesilapannya mengaitkan pelakon itu dengan penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn. Bhd. (Excellent Pictures).

Melalui kenyataan yang dikongsi kepada media, Hans yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjelaskan kesilapan yang dilakukannya itu sudah disedari awal dan tidak sempat memohon maaf memandangkan pelakon itu terlebih dahulu sudah menghantar surat peguam.

“Untuk makluman, pada 16 November lalu, saya telah menghantar satu mesej di dalam kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia di mana saya telah merakamkan ucapan tahniah kepada tiga buah syarikat yang dipilih menerima Dana Kandungan Digital 2020 daripada FINAS, termasuk Excellent Pictures.

“Di dalam mesej tersebut, saya telah membuat kesilapan dengan mengaitkan Eizlan Yusof dan Excellent Pictures. Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya.

“Pada hakikatnya, saya telah bersiap sedia untuk merakamkan pembetulan berserta permohonan maaf kepadanya semalam sebaik sahaja saya sedar akan kesilapan tersebut, tetapi sebelum sempat saya berbuat demikian, saya dimaklumkan beliau telah menghantar surat peguam kepada saya,” katanya.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan Eizlan kelmarin, tuduhan tidak berasas Hans itu juga mengakibatkan kredibilitinya sebagai Ahli Perbadanan FINAS dan penggiat industri kreatif yang telah berkecimpung selama lebih daripada 20 tahun tercalar.

Dalam pada itu Hans melalui peguamcara juga menjelaskan pihaknya sudah menghubungi Eizlan dalam membuat pembetulan berhubung isu ini.

“Saya telah menghubunginya melalui peguamcara saya untuk mengeluarkan kenyataan pembetulan berhubung dengan kesilapan ini.

“Saya sekali lagi ingin memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan yang tidak disengajakan. Saya amat berharap agar kita dapat buang yang keruh, dan ambil yang jernih. Semoga kita dapat terus memajukan industri perfileman negara bersama,” katanya.

Sementara itu Utusan Malaysia turut mendapatkan reaksi Eizlan berhubung permohonan maaf yang dilakukan Hans.

Katanya, dia menyerahkan semua kepada pihak peguam dan tidak akan membuat sebarang komen buat masa ini.

“Memang peguam saya sudah menerima surat daripada pihak peguam Hans, cuma saya tidak boleh beri apa-apa kenyataan buat masa ini memandangkan melibatkan peguam. Nantilah saya cuba bincang dahulu dengan peguam saya,” katanya.

Turut ditanya mengenai hubungan peribadinya dengan Hans ketika ini, Eizlan yang juga Ahli Perbadanan FINAS bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Melihat isu ini tidak seharusnya berlaku, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid juga berharap agar ada sinar berbeza dalam kemelut yang melanda dua nama besar industri ini.

“Industri ini kecil sahaja pusing-pusing akan bertemu wajah yang sama, tidak sepatutnya ada unsur tuduhan melulu dan sebagainya. Seharusnya kita mempunyai fokus yang sama untuk membangunkan industri.

“Saya harap apa yang berlaku ini akan diselesaikan dengan baik kedua belah pihak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya