PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menarik balik perintah larangan ke atas guru muzik untuk mengajar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Berita baik itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya pemberita pada sesi soal jawab selepas sidang akhbar beliau di sini hari ini.
“Perkara ini ada dibangkitkan dalam mesyuarat MKN dan kita membuat keputusan untuk bersetuju benar balik guru muzik mengajar tetapi dengan pelajar secara berseorangan,” katanya.
Beliau merujuk rayuan Persatuan Pusat Muzik dan Guru Muzik Malaysia menerusi kenyataan pada 12 November lalu yang memohon agar diberi pertimbangan khas bagi urusan pengajaran.
Organisasi yang disertai lebih 400 anggota itu memberi jaminan sedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN dalam mengekang penularan kes Covid-19.
“MKN melihat secara holistik, bukan sahaja guru muzik, guru al-Quran juga boleh mengajar tetapi murid berseorangan, bukan berkumpulan dan ini dibenarkan mulai 28 November,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE