Guna kereta sewa samun warga asing  - Utusan Malaysia

Guna kereta sewa samun warga asing 

ANTARA barangan yang dirampas polis susulan penangkapan empat suspek yang ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Klang, Selangor, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sanggup menyewa kenderaan untuk melakukan kegiatan samun dan mensasarkan warga asing yang berjalan sendirian sebagai mangsa.

Namun, kegiatan sekumpulan lelaki warga tempatan itu berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat ahlinya berusia 18 hingga 27 tahun dalam dua serbuan berasingan yang dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas melakukan perbuatan tersebut, Khamis lalu.

Malah, hasil tangkapan juga menemukan sehelai baju tentera, sepasang pakaian celoreng Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam kenderaan disewa kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun warga Nepal disamun berdekatan sebuah klinik di Bayu Perdana.

Menurut Shamsul Amar, mangsa telah kerugian wang tunai RM270, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan dua telefon bimbit. 

“Sejurus menerima laporan mangsa, kita telah bertindak dan berjaya memberkas seorang suspek di Taman Sentosa di sini kira-kira pukul 5.30 petang. 

“Hasil siasatan telah membawa kepada penangkapan tiga lagi suspek di sebuah rumah di Jalan Meru tidak lama kemudiannya.

“Pemeriksaan dalam kenderaan jenis Perodua Axia telah menemukan sepasang pakaian celoreng Rela, sehelai baju tentera, radio walkie-talkie dan empat telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Tambahnya, siasatan dilakukan mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes samun warga Nepal berkenaan di Bayu Perdana.

“Salah seorang suspek turut mengaku mencuri pakaian Rela milik bapa saudaranya untuk aktiviti tersebut. 

“Semakan juga mendapati tiga daripada suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah. Kita percaya geng berkenaan telah aktif dengan kegiatan samun sejak dua minggu lalu,” ujarnya.

Katanya lagi, semua suspek kini direman selama enam hari sehingga hadapan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya