GRO guna ‘token stickers’ tip layan pelanggan, raih pendapatan RM2,000 sehari - Utusan Malaysia

GRO guna ‘token stickers’ tip layan pelanggan, raih pendapatan RM2,000 sehari

SEBUAH pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang diserbu Jabatan Imigresen dan seramai 27 GRO warga asing ditahan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menggunakan pelekat ‘token stickers’ untuk mendapatkan tip daripada pelanggan pusat hiburan. Itu trend terbaharu wanita-wanita pelayan pelanggan (GRO) bagi menggantikan aktiviti ‘kalungan bunga’ yang biasa diterima sebagai upah melayan pelanggan.

Aktiviti berkenaan dipercayai sudah sekian lama dijadikan sebagai satu persembahan istimewa di salah sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur sebagai daya tarikan pelanggan ke premis itu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen menyerbu pusat hiburan tersebut semalam dan menahan seramai 27 warga asing dan dua warga tempatan oleh Unit Quick Response Team (QRT) dan Unit Risikan Operasi (URO) dengan kekuatan 18 pegawai jabatan itu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud, hasil soal siasat awal, wanita-wanita warganegara asing yang bekerja sebagai GRO itu boleh mendapat tip serendah RM500 sehingga RM2,000 hanya dalam sehari.

“Wanita-wanita yang bekerja sebagai GRO ini kebanyakan memasuki Malaysia dengan hanya menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi tempoh 30 hari.

“Hasil pemeriksaan awal kebanyakan mereka memasuki negara ini sebelum sekatan perjalanan keluar masuk negara dikenakan kerajaan Mac lalu dan mereka gagal membuktikan ada membuat pendaftaran dalam talian untuk pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, premis tersebut didapati memasang beberapa orang ‘tonto’ yang mengawasi sekitar kawasan premis bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa dan akan memberikan maklumat supaya wanita-wanita GRO itu melarikan diri.

Katanya, semasa serbuan dijalankan, wanita-wanita GRO itu dan beberapa lelaki warga asing cuba melarikan diri, namun telah digagalkan kerana premis berkenaan dikepung lebih awal.

“Lebih 80 warganegara Malaysia sedang berhibur dan bermesra di pusat hiburan tersebut dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

“Wanita warganegara asing ini mengaut keuntungan besar dengan melakukan aktiviti-aktiviti tidak bermoral menggunakan tiket pelancong selain menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan memegang pas isteri kepada warganegara tetapi bekerja sebagai GRO,” katanya.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan tersebut hanya mempunyai lesen perniagaan restoran dan kedai makan dan bukannya lesen hiburan atau kelab malam.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti warga asing itu ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. Tahanan-tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan.

Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya