PONTIAN: Gobok Pontian merupakan satu inisiatif menyediakan barangan keperluan asas kepada golongan memerlukan khususnya mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Usaha berkenaan dirintis Pejabat Daerah Pontian melalui kerjasama Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan Syarikat Al-Qamar dengan mereka yang memerlukan boleh mengambil barangan di ‘gobok’ itu yang terletak di Al-Qamar Food di Jalan Alsagof di sini.
Pegawai Daerah Pontian, Zulkifly Mohd. Tahir berkata, program itu merupakan kesinambungan insiatif sama yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, Julai lalu.
Katanya, terdapat 8,000 golongan telah menerima bantuan pada Mac lalu manakala 15,000 orang lagi masih memerlukan bantuan dan di dalam perhatian pihaknya.
“Mereka yang memerlukan barangan keperluan boleh datang ke Gobok Pontian dan mengambil apa diperlukan. Namun sebelum itu, mereka hendaklah isi maklumat diri dan akan digunakan bagi rekod data kami akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Gobok Pontian di Syarikat Al-Qamar Food di Jalan Alsagoff, di sini.
Turut hadir Pengurus Besar PIJ, Abdul Halim Abd. Shukor; Setiausaha Majlis Daerah Pontian (MDP), Abd. Rahman Islam dan pemilik Syarikat Al-Qamar Food, Kamar Salimon.
Zulkifly menambah, ‘gobok’ itu menyediakan pelbagai makanan asas dan boleh diambil tanpa had oleh golongan memerlukan tanpa mengira kaum dan agama di daerah ini.
“Kami juga mengalu-alukan sekiranya orang ramai ingin menyumbang kepada Gobok Pontian sebagai satu amal jariah dan berkongsi rezeki. Mereka ingin berbuat demikian, boleh menghubungi Pejabat Daerah Pontian,” katanya. – UTUSAN ONLINE