KLANG: Dalam menggalakkan pembelian untuk peniaga tempatan, pusat borong GM Klang melancarkan kempen akhir tahun bertemakan ‘Support Local, Shop Local’ yang bermula 23 November hingga 23 Disember ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Lim Seng Kok berkata, kempen tersebut adalah sokongan ‘Kempen Beli Barangan Malaysia’ yang diusahakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurutnya, kempen ‘Support Local, Shop Local’ adalah inisiatif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap jenama dan produk buatan Malaysia.
“Objektif kami adalah menekankan kepentingan membeli barangan tempatan yang dilihat mampu memberi kesan positif terhadap sosioekonomi.
“Melalui usaha ini, kita menjadikan GM Klang antara lokasi pilihan bagi orang ramai setiap kali mereka mencari barangan tempatan sekali gus mendorong semua pembeli dan peniaga tempatan menyokong barangan tempatan yang kami pasarkan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Seng Kok berkata, selain menyokong dengan membeli produk tempatan yang sedia ada di GM Klang, pihaknya juga mengadakan peraduan sebagai galakan yang dihebahkan menerusi dalam talian.
Menurutnya, orang ramai boleh memberikan sokongan dengan menyertai peraduan media sosial GM Klang di Facebook atau Instagram.
“Mereka hanya perlu memuat naik foto membeli produk tempatan di GM Klang, lengkapkan kapsyen mengapa kempen ‘Beli Barangan Tempatan’ adalah terbaik dan diikuti hashtag #SupportLocalShopLocal dan tag akaun media sosial GM Klang.
“10 pemenang akan dipilih dan akan memenangi baucar tunai berjumlah RM7,000 secara keseluruhannya dan boleh membeli-belah pelbagai barangan jenama serta buatan tempatan di GM Klang.
“Usaha #SupportLocalShopLocal juga akan mendorong komuniti GM Klang berbelanja dengan selamat dan merangkumi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dengan menggunakan e-wallet atau e-pembayaran serta menggunakan khidmat penghantaran yang disediakan oleh pemborong dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya. – UTUSAN ONLINE