Gilap pelantun lagu Melayu Asli - Utusan Malaysia

Gilap pelantun lagu Melayu Asli

ISHAK Mokhtar (tengah berbaju Melayu merah) bersama 36 peserta bengkel nyanyian lagu-lagu Melayu Asli di JKKN Pahang di Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pada era ini, negara ketandusan tokoh yang menjurus kepada penciptaan lagu-lagu Melayu Asli seperti Allahyarham Tan Sri SM Salim, Rahim Jantan dan juga Samsudin Lamin. 

Walaupun terdapat nama besar yang memperjuangkan muzik tradisional pada masa kini seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris, namun, tumpuan dan kepakaran mereka bukanlah menjurus kepada lagu-lagu Melayu Asli. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, usaha menggilap atau mencari pelantun lagu Melayu Asli perlu dibuat. 

“Saya menyokong usaha dilaksanakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dan Persatuan Muzik Asli Gemalasari melaksanakan bengkel nyanyian lagu Melayu Asli. 

“Usaha sebegini penting agar dapat melahirkan ramai penyanyi muzik Melayu Asli seterusnya menyambung serta memelihara seni warisan ini agar ianya tidak hilang ditelan arus masa,” katanya pada majlis penutup bengkel nyanyian Lagu-Lagu Melayu Asli di Auditorium JKKN Pahang di sini. 

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar. 

Yang hadir sama, Pengarah JKKN Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang dan Penaung Persatuan Muzik Asli Gemalasari Kuantan, Datuk Syed Mohammad Faiz Syed Azemmant. 

Mohd. Sharkar berkata, rangkap lagu Melayu Asli bercirikan nasihat dan kesantunan budi yang mendidik masyarakat Melayu agar memelihara adat dan budaya serta kesantunan tingkah laku.

“Kerajaan Pahang dengan kerjasama JKKN Pahang akan menjadikan keindahan irama lagu Melayu Asli sebagai tarikan pelancongan budaya di negeri ini.

“Antara langkah diusahakan mewajibkan pemain industri khususnya hotel besar mengundang pemuzik tempatan membuat persembahan lagu Melayu Asli kepada tetamu mereka,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN