Ghairah jual beli emas, 23 dikompaun tidak patuh SOP - Utusan Malaysia

Ghairah jual beli emas, 23 dikompaun tidak patuh SOP

SHAFIEN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 23 individu dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika berjual beli emas di sekitar bandar ini semalam.

Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, enam individu yang dikompaun terbabit merupakan pemilik kedai emas manakala baki 17 individu lagi merupakan pelanggan yang membeli emas.

Katanya, sewaktu operasi dijalankan, pelanggan yang merupakan golongan wanita dilihat berebut-rebut sehingga berlaku kejadian tolak-menolak sesama mereka hanya kerana mahu membeli emas.

“Selain itu, kita dapati pemilik premis pula tidak menyediakan cecair pembasmi kuman dan penyukat suhu untuk kegunaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Derma Darah Anjuran Polis Kelantan Bersama Unit Tabung Darah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Perubatan III  HRPZ II Dr Tengku Annas Fathy Tengku Ahmad.

Shafien berkata, pemilik kedai emas dilihat lebih mementingkan keuntungan perniagaan mereka berbanding pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan.

Tegas beliau, pemilik premis berkenaan berdepan dengan tindakan yang lebih berat seperti kemungkinan kedai mereka ditutup sekiranya masih gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan penguatkuasaan yang lebih ketat terutamanya untuk menutup premis mereka.

“Nasihat saya, pemilik premis boleh menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk memastikan perniagaan mereka mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

Shafien menambah, polis sesekali tidak akan berkompromi dengan individu yang ingkar SOP di bawah PKBB yang sedang dikuatkuasakan di negeri ini bermula 21 November hingga 6 Disember depan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya