GEORGETOWN : Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kerajaan negeri yang didakwa menjelaskan bayaran sewa bagi Muzium Kebudayaan Komik Asia.
Naib Pengerusi Gerakan negeri, H’ng Khoon Leng berkata, laporan yang dibuat kelmarin itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya berkaitan isu berkenaan.
Jelas beliau, sejak pembukaan Muzium Kebudayaan Komik Asia pada Mac 2016, kerajaan negeri telah membayar sewa premis bagi muzium berkenaan.
“Berdasarkan jawapan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri kepada soalan bertulis dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Oktober lalu, sebanyak RM413,940 telah diperuntukan oleh kerajaan negeri bagi tujuan pembayaran sewa muzium pada tahun ini.
“Jika sewa tahunan yang dinyatakan dalam sidang DUN ini tepat, ini bermakna kerajaan negeri telah membayar sewa premis melebihi RM2 juta untuk muzium swasta ini sejak Mac 2016 hingga Disember 2020 dan jumlah ini amat besar untuk sebuah entiti swasta,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Khoon Leng, peruntukan untuk membayar sewa premis berkenaan diagihkan oleh Kerajaan Pusat daripada hasil kutipan cukai pelancongan.
“Apa alasan kerajaan negeri memberi peruntukan khas kepada muzium berkenaan sedangkan ramai pemain industri pelancongan yang lain turut memerlukan bantuan ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri harus mengemukakan dengan segera perjanjian yang telah ditandatangani dan dokumen berkaitan kepada rakyat untuk menjelaskan persoalan yang timbul.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia cuba mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Yeoh Soon Hin namun belum menerima maklum balas.-UTUSAN ONLINE