MELAKA: Kegiatan mencuri motosikal dan menjual komponennya di Facebook tumpas setelah polis memberkas tujuh ahli Geng Ayip Gagap yang aktif di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan berusia 19 hingga 32 tahun aktif menjalankan kegiatan jenayah itu sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 dan C70.
Katanya, polis mendapat petunjuk kes selepas seorang lelaki melaporkan kehilangan motosikal jenis Honda EX5 di sebuah masjid di Peringgit kira-kira pukul 6.20 pagi, 5 Oktober lalu.
“Bertindak atas aduan orang ramai termasuk kes tersebut, kita berjaya mengenal pasti geng yang terlibat dan membuat tangkapan pertama pada 29 Oktober lalu di Flat Padang Jambu, Bukit Baru.
“Suspek seorang lelaki berusia 24 tahun merupakan ketua yang kita gelarkan sebagai Geng Ayip Gagap dan dia merupakan perancang kes dengan mencuri motosikal secara seorang diri di kawasan-kawasan sunyi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini hari ini.
Katanya, hasil soal siasat, suspek membawa sepasukan polis ke sebuah rumah keluarganya di kawasan Peringgit Jaya yang dijadikan tempat transit hasil curi motosikal.
Afzanizar berkata, suspek kedua dan ketiga yang merupakan adik-beradik ditangkap selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan membeli dan meleraikan hasil curi tersebut untuk dijual sebagai alat ganti di laman sosial Facebook dengan harga serendah RM500.
“Empat yang lain termasuk seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 19 tahun ditangkap secara berasingan kerana terlibat sama dalam kegiatan meleraikan dan sebagai pengangkut barang curi berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut, polis berjaya menemukan sebanyak sembilan buah motosikal dan lapan rangka serta menyelesaikan 13 kes terlibat setakat ini melibatkan anggaran kerugian RM40,000,” katanya.
Tambahnya, hasil saringan ujian air kencing suspek utama turut didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau membabitkan kes curi motosikal, pecah rumah dan jenayah keganasan.
Jelasnya tiga suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala empat lagi termasuk dalang kumpulan itu masih direman sehingga Isnin depan bagi membantu melenkapkan kertas sisatan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE