GEORGETOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengeluarkan garis panduan lebih ketat terutama membabitkan proses kempen calon-calon bertanding sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) bagi mencegah penularan Covid-19.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Muhd. Shameer Mohd. Sulaiman berkata, ini kerana pada masa ini tidak ada undang-undang yang boleh menghalang mana-mana parti atau calon bebas bertanding di dalam PRK.
“Kita boleh halang parti-parti besar daripada bertanding tapi bagaimana pula dengan calon-calon Bebas, adakah mereka juga tidak mahu tawarkan diri untuk bertanding?
“Jadi di sini perlunya garis panduan lebih ketat oleh SPR seperti tiada kempen besar-besaran dibenarkan jika berlakunya PRK bagi mengelakkan kewujudan kluster-kluster baharu Covid-19,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini semalam.
Terdahulu, Muhd. Shameer bersama ahli-ahli Armada Bersatu negeri menyerahkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di HPP.
Dua PRK bakal diadakan di Sabah susulan kematian ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong (Warisan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd. Darah (Warisan).
Satu lagi PRK ialah di kerusi Parlimen Gerik di Perak selepas penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) meninggal dunia kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Muhd. Shameer berkata, Armada Bersatu negeri akan meneruskan pemberian bantuan kepada petugas barisan hadapan di HPP sebagai penghargaan kepada mereka.
“Menerusi maklum balas yang kami terima, terdapat barangan seperti cerek elektrik dan pemanas air amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan.
“Kami akan menyerahkan bantuan berkenaan dalam tempoh terdekat agar petugas barisan hadapan dapat terus menjalankan tugas mereka,” katanya.-UTUSAN ONLINE