Ganjaran RM5,000 cari penjenayah pencemaran Sungai Selangor - Utusan Malaysia

Ganjaran RM5,000 cari penjenayah pencemaran Sungai Selangor

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang boleh menyalurkan maklumat dan bukti sehingga tertangkapnya penjenayah pencemaran di Sungai Selangor ditawarkan ganjaran sebanyak RM5,000.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemberian ganjaran itu selaras komitmen kerajaan dalam Belanjawan 2021 dengan satu peruntukan khas diberikan kepada mana-mana pihak yang dapat menyalurkan maklumat tentang sebarang salah laku dan pelanggaran undang-undang, termasuk isu pencemaran sungai.

“Saya amat memandang serius mengenai perkara ini kerana tujuh insiden henti tugas loji rawatan air di Selangor akibat pencemaran sungai pada tahun ini tidak sepatutnya berlaku.

“Sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah ini hendaklah disalurkan kepada [email protected] atau talian hotline Jabatan Alam Sekitar (JAS) di 1-800-88-2727,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Tuan Ibrahim, berdasarkan kepada siasatan awal, pencemaran itu berpunca daripada efluen industri daripada pelbagai sumber industri kecil dan sederhana di Taman Velox, Rawang dan kawasan persekitarannya iaitu Kawasan Industri Kecil Sungai Bakau dan Taman Perindustrian Teknologi Rawang.

Beliau menjelaskan, sebahagian daripada efluen industri yang berbau itu masuk ke dalam longkang dan sebahagian lagi telah dilepaskan secara haram ke dalam sistem pembetungan.

“Efluen industri ini seterusnya telah mengganggu tugas loji rawatan kumbahan yang dioperasi oleh IWK di Taman Velox.

“Penyiasatan akan terus dijalankan oleh pasukan penguat kuasa pelbagai agensi sehingga punca pencemaran dan penjenayah alam sekitar ini dapat dikenal pasti,” katanya.

Pencemaran sungai itu menyebabkan hampir enam juta penduduk di Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan
bekalan air untuk satu tempoh yang belum diketahui selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) terbesar di Sungai Selangor terpaksa dihentikan tugas.

Ekoran henti tugas di empat LRA iaitu di LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang, lebih 1.1 juta akaun merangkumi 1,279 kawasan terjejas.

Sehingga pukul 9 malam ini, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau Panjang berada pada tahap 2 Ton dan
LRA SSP1, 2 dan 3 pula pada tahap 2 Ton.

Bekalan air mula ditutup bermula 6 petang semalam melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ini merupakan kejadian ketiga berturut-turut berlaku dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu yang mengakibatkan henti tugas di LRA sama.-UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN