KEMAMAN: Operasi pemindahan seekor gajah jantan seberat 2.5 tan di Kampung Darat Teladas, Air Putih di Hulu Kemaman di sini berdepan cabaran apabila haiwan liar berusia 20 tahun itu bertindak agresif.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, proses pemindahan yang mengambil masa selama empat jam itu, bagaimanapun berjaya dilakukan walaupun berdepan halangan termasuk laluan berbukit dan berlumpur.
Katanya, operasi kali ini melibatkan seramai 30 anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah dan Perhilitan Terengganu di samping turut dibantu dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai sebagai pemikat.
“Walaupun terpaksa melalui jalan licin berikutan cuaca hujan malam tadi dan meredah beberapa anak sungai serta bukit yang tinggi, namun usaha memujuk gajah jantan ini berjaya dilakukan.
“Kita percaya gajah ini datang dari hutan simpan berhampiran dan mempunyai kumpulan yang besar, jadi potensi untuk datang ke kebun penduduk memang ada kerana jarak habitatnya yang berdekatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohamad Khairul Adha berkata, haiwan liar itu akan dibawa ke Taman Negara Terengganu.
Sementara itu, seorang pekebun, Mohd. Yusof Sulong, 57, lega dengan penangkapan seekor gajah liar tersebut berikutan terpaksa menanggung kerugian lebih RM15,000 selepas tanaman kelapa sawitnya diserang sebanyak empat kali sejak awal tahun lalu.
“Beberapa hari lalu saya terserempak dengan gajah itu ketika dalam perjalanan pulang dari kebun dan dalam keadaan panik kerana jarak yang dekat saya segera memecut motosikal dan menghubungi Perhilitan.
“Walaupun tidak semua kumpulan gajah itu ditangkap sekurang-kurangnya penduduk tidak lagi risau kerana haiwan yang ditangkap ini memang agresif dan banyak kali merosakkan tanaman di kebun penduduk,” katanya. -UTUSAN ONLINE