PUTRAJAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyambut baik inisiatif pengurangan duti hiburan diumumkan melalui Belanjawan Negeri Selangor 2021.
Usul tersebut yang dibentangkan pada 30 Oktober lalu oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari itu bakal berkuat kuasa di seluruh negeri berkenaan mulai 1 Januari depan.
Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, agensi itu amat menyokong penuh dan bersifat terbuka demi kebaikan sektor industri perfileman negara.
“Saya juga telah berhubung dengan Menteri Besar bagi membincangkan perihal pengurangan duti hiburan bagi aktiviti pemameran susulan usul belanjawan negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria merujuk inisiatif kerajaan Selangor bersetuju mengurangkan kadar duti itu daripada 25 peratus kepada 15 peratus bagi aktiviti kesenian atau pementasan bertiket artis tempatan.
Pihak Finas ujarnya, kemudian menghantar surat bertarikh 2 November lalu kepada Pejabat Perbendaharaan Selangor bagi mendapatkan pencerahan lanjut berhubung isu tersebut.
“Ini untuk agensi mengetahui terperinci sama ada skop inisiatif berkenaan akan turut merangkumi aktiviti pemameran seperti tayangan pawagam dan pusat karaoke,” jelas Zakaria.
Selaku badan peneraju di bawah Akta Finas 1981, pihaknya komited melaksanakan fungsi utama dalam menggalak, memelihara dan memudahkan kemajuan industri perfileman.
Ia ujar beliau, melalui tiga aktiviti utama iaitu pengeluaran, pengedaran dan pemameran filem di seluruh Malaysia serta sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berkaitan.
“Finas menyokong jika inisiatif ini meliputi perniagaan di bawah kegiatan pemameran yang turut menerima impak besar ekoran penularan wabak Covid-19 ketika ini,” tegas Zakaria. -UTUSAN ONLINE