PUTRAJAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menzahirkan tanda penghargaan terhadap usul Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berjaya merangka bajet untuk tahun depan yang bersifat komprehensif.
Bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’, belanjawan itu ujarnya, mencerminkan usaha komited kerajaan dalam menangani keresahan rakyat yang berdasarkan tiga matlamat induk.
“Belanjawan 2021 menepati matlamat Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi dalam mendepani cabaran negara akibat pandemik Covid-19,” jelasnya dalam kenyataan semalam.
Justeru, Zakaria menambah, pihak Finas turut menghargai keprihatinan kerajaan terhadap nasib para penggiat industri kandungan kreatif tempatan menerusi pembentangan bajet itu.
Usaha tersebut kata beliau, dapat dilihat apabila Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu bakal meneruskan lagi inisiatif pelaksanaan Dana Kandungan Digital sepanjang tahun depan.
“Perincian lanjut mengenai rancangan hasil inisiatif berkenaan akan dimaklumkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa,” terang Zakaria lagi menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Finas ujar beliau turut berharap agar penggiat industri terus berganding bahu serta menjunjung semangat kebersamaan dalam usaha memerangi Covid-19 dan cabaran ekonomi semasa. UTUSAN ONLINE