SEREMBAN: “Kami sekeluarga mahu abang pulang ke pangkuan kami, kami rindu dia.” Itu luahan adik kepada Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik yang kini bersama isterinya tinggal di sebuah rumah yang dihuni keluarga berbangsa India di daerah ini.
Azizi Abdul Malik, 36, berkata, setelah mengetahui berita tentang Mohamad Fakrulzaman, dia amat sedih dan berharap abangnya itu dapat pulang ke pangkuan keluarga.
“Sejak ayah kami meninggal dunia pada 2002, kami berharap dia menjadi ketua keluarga kerana dia anak sulung. Jadi, bila baca berita sebegini saya sedih dan berharap dia pulang kepada pangkuan keluarga.
“Kali terakhir saya bertemu dengan Fakrul 10 tahun lalu. Kalau boleh baliklah ke kampung duduk bersama emak, kami nak berkumpul macam dulu-dulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Mohamad Fakhrulzaman, 57 dan isterinya, Rohayati Salleh, 46, yang tinggal bersama sebuah keluarga berbangsa India di Taman Sungai Ujong dekat sini selepas kedua-duanya hidup daif selepas kehilangan pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bulan Mac lalu.
Kerana kesempitan hidup, suami isteri ini terpaksa menjual jam tangan dan peti ais demi meneruskan kehidupan selain untuk membayar bilik yang disewa.
Difahamkan, kedua-dua mereka mempunyai lima orang anak berusia antara 7 hingga 24 tahun dan ada yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan seorang lagi di sebuah madrasah di Indonesia.
Menurut Azizi lagi, dia berniat untuk berjumpa dengan abang sulungnya yang dipanggil Fakhrul itu namun, tidak kesampaian apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kalau ada kesempatan kami nak ambil dia untuk kami jaga di kampung, emak saya selalu bercerita dan berhubung dengan dia.
“Saya berharap selepas selesai PKPB ini saya dan keluarga dapat berjumpa dia semula dan kami sekeluarga tidak pernah membuang dia,” katanya.
Azizi menjelaskan, Fakhrul pernah menjadi wali bagi pernikahan anaknya yang kedua pada tahun lalu sebelum menghilangkan diri ke Seremban.
“Saya tahu dia ada pulang menjadi wali perkahwinan anak keduanya namun selepas itu kami tidak mengetahui dia di mana sehingga dimaklumkan di surat khabar dua hari lalu,” katanya yang tinggal di Maran, Pahang. -UTUSAN ONLINE