KOTA TINGGI: Sebanyak enam buah rumah di Kampung Baru Pengerang dinaiki air susulan hujan lebat selama dua jam pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi dalam kenyataan memaklumkan banjir kilat itu berlaku pada pukul 8 pagi selepas hujan lebat bermula pukul 6.30 pagi.
“Akibat hujan lebat bermula pukul 6.30 pagi dan lebih dua jam sebanyak enam buah rumah dinaiki air.
“Siasatan awal mendapati banjir tersebut dipercayai berlaku ekoran punca aliran perparitan tersumbat.
“Tiada pusat pemindahan banjir yang dibuka kerana air surut sepenuhnya pada pukul 10 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemantauan lanjut dari masa ke semasa masih dijalankan di kawasan terlibat serta kawasan lain yang mudah dinaiki air susulan keadaan cuaca masih hujan renyai. – UTUSAN