Empat suspek punca kematian polis ditahan - Utusan Malaysia

Empat suspek punca kematian polis ditahan

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukan pemandu kereta Myvi (kiri) dan janda yang menyewakan kereta tersebut kepada suspek yang berjaya di berkas pada sidang akhbar di IPK Johor di sini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Seramai empat suspek termasuk perempuan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa seorang anggota polis, berjaya ditahan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 27 tahun ditahan dalam serbuan berasingan antara pukul 2 petang hingga 9 malam di sekitar Kampung Melayu Seelong, Senai dan Kampung Melayu Pandan, di sini.

Beliau berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang janda dua anak yang berusia 27 tahun yang merupakan pekerja kilang sekitar pukul 2 petang. 

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati kereta Perodua Myvi berwarna Ungu yang dipandu suspek semasa kejadian tersebut disewa atas nama wanita terbabit sebelum dipinjamkan kepada teman lelakinya. 

“Susulan penahanan wanita itu, kita menahan dua lelaki termasuk teman lelaki wanita itu masing-masing berusia 24 tahun yang tidak bekerja dalam serbuan pada pukul 6 petang.

“Manakala suspek terakhir pula ditangkap adalah seorang lelaki berusia 25 tahun iaitu suspek yang memandu kereta Perodua Myvi berkenaan ketika kejadian berlaku dan dia ditahan pada pukul 9 malam.

“Berdasarkan tangkapan yang kita buat ini serta keterangan yang kita perolehi, dapat kami sahkan pemandu semasa kejadian itu adalah lelaki berusia 25 tahun terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi semalam, seorang anggota polis, Konstabel Nicholester Dadup Anak Unggat, 20, maut selepas cedera parah pada bahagian kepala.

Manakala pemandu MPV, Lans Koperal Mohd. Fadhirul Musa, 32, cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi ketika mengejar penjenayah sebelum terbalik.

Ayob Khan berkata, pemeriksaan atas kenderaan tersebut menemukan dua botol dipercayai alat untuk menghisap dadah jenis syabu. 

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methaphetamine dan dua suspek memiliki rekod jenayah.

“Keterangan wanita tersebut juga ada menyebut kesemua mereka menghisap dadah tiga hari sebelum kejadian berlaku.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada tiga suspek lelaki itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. 

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini bagi siasatan lanjut,” katanya. 

Kes disiasat bagi Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan serta mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya diminta memberhentikan kenderaan bagi membuat pemeriksaan. 

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalahi undang-undang serta memandu sehingga membahayakan dan meragut nyawa orang lain,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN