Empat pelajar antara lima ditahan rogol dua remaja bawah umur - Utusan Malaysia

Empat pelajar antara lima ditahan rogol dua remaja bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lima lelaki termasuk empat pelajar direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rogol dua remaja perempuan bawah umur, minggu lalu.

Empat suspek berusia 16 tahun dan seorang lelaki berusia 20 tahun itu ditahan pihak polis kelmarin selepas menerima laporan yang dibuat ibu seorang daripada mangsa pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kesemua mereka disyaki terlibat melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir dengan mangsa berusia 12 dan 15 tahun.

Katanya, perbuatan yang turut dirakam itu dilakukan suspek di kawasan hutan berdekatan loji kumbahan di Taman Malar, di sini pada 4 November lalu.

“Kedua-dua mangsa yang masih bersekolah itu merupakan kawan baik dan mereka telah membuat pengakuan mengadakan hubungan seks dengan empat suspek terlibat.

“Seorang lagi suspek pula bertindak merakam perbuatan berkenaan menggunakan telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Anuar berkata, berdasarkan laporan itu, polis berjaya mengesan kesemua suspek sebelum menahan mereka kelmarin.

Katanya, kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 14 November ini.

“Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN