BAGAN SERAI: Empat buah kampung di Semanggol dekat sini dilanda banjir malam ini berikutan hujan lebat sejak petang tadi.
Banjir melibatkan Kampung Tebuk Panchor Kiri, Jalan Kubu Gajah, Kampung Tebuk Panchor dan Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) di Lembah Beriah.
Menurut jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian, kawasan yang dinaiki air melibatkan kawasan rendah.
“Pihak JPS Kerian akan melaksanakan pemantauan di kawasan terlibat dari masa ke semasa.
“JPS juga akan memasang pam air bergerak sekiranya diperlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE