KUALA LUMPUR : Dua individu terselamat manakala dua lagi masih tidak sedarkan diri selepas helikopter dinaiki mereka bertembung sesama sendiri sebelum terhempas di Taman Melawati,Jalan Melawati 5, Taman Malawati di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.46 pagi itu, empat mangsa terdiri tiga lelaki dan seorang wanita itu menaiki dua helikopter berasingan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu.
“Terdapat empat mangsa yang mana dua selamat dan dua lagi tidak sedarkan diri,”katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan siasatan masih dijalankan.
“Ya betul, pihak kita terima panggilan daripada orang awam dan kami sedang menghala ke sana,” ujarnya ringkas.-UTUSAN ONLINE