SEREMBAN: Empat cedera termasuk pekerja penyelenggaraan lebuh raya selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 9.3 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyata Vios yang dipandu seorang wanita berumur anggaran 30-an di lorong kiri telah kawalan ke lorong kanan lebuh raya.
Kemudian kenderaan itu melanggar sebuah kereta jenis Isuzu D-Max yang sedang bergerak di lorong kanan dari arah yang sama.
“Kesan pelanggaran tersebut telah menyebabkan kenderaan jenis Isuzu D-Max hilang kawalan ke lorong kiri lalu melanggar sebuah lori jenis Inokom milik penyelenggara lebuh raya yang sedang berhenti di bahu kiri jalan.
“Impak pelanggaran juga telah menyebabkan lori tersebut terbabas jatuh ke dalam longkang di lokasi kejadian. Kemalangan telah mengakibatkan pemandu kenderaan Isuzu D-Max, pemandu lori dan dua lagi penumpangnya mengalami kecederaan ringan di badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Said, pemandu kereta Toyota Vios pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat dibawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.-UTUSAN ONLINE