KUALA LUMPUR: Sentiasa mahu nampak muda dan bertenaga antara rahsia Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah untuk kekal stamina sehingga bergelar bapa pada usia 61 tahun.
Jelas Jamal, dia sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanannya sementelah kerjaya seni juga menuntut dia untuk sentiasa tampil ‘muda’.
“Ramai tanya apa rahsia boleh dapat anak di usia 61 tahun tetapi, saya sendiri tidak tahu. Tetapi kita kena jaga makan, bersenam untuk kekal tenaga.
“Saya sendiri dari dulu memang mahu nampak kacak. Bila kita sihat, suara kita pun sihat dan insya-Allah kerjaya kita akan maintain,” katanya.
Jamal yang hari ini meraikan kelahiran anak keempatnya tidak dapat menggambarkan kegembiraannya dengan kata-kata.
Malah, saat mendukung buat kali pertama anak keempatnya, Jamal mengakui hatinya sebak dan terkedu melihat bayi yang diberi nama El Isaac Yamani itu.
“Memang susah nak cakap perasaan saya bila nampak bayi itu. Terharu, sedih dan bersyukur semua ada dalam hati saya.
“Alhamdulillah, bayi dan ibunya dalam keadaan sihat serta stabil. Saya pun bersyukur sangat di usia ini, Allah kurniakan anugerah terindah,” katanya.
El Isaac merupakan anak kedua Jamal bersama isteri, Datin Zai Izzati yang sebelum ini melahirkan anak perempuan mereka, Azura.
Bercakap soal proses menjaga isteri hamil dan kelahiran dalam keadaan pandemik ini, Jamal berkata, dia membawa isteri pulang ke Ipoh untuk memudahkan proses bersalin dan dalam pada masa sama, boleh menguruskan perniagaannya di situ.
“Sebelum ini isteri melahirkan anak di Shah Alam tetapi kali ini, saya bawa pulang ke Ipoh. Lebih mudah sebab saya juga ada perniagaan di sini,” katanya. -UTUSAN ONLINE