Duit habis ditipu ah long online - Utusan Malaysia

Duit habis ditipu ah long online

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang ejen insurans kerugian RM18,500 selepas diperdaya individu menawarkan pinjaman tidak wujud ketika kejadian di Cameron Highlands dekat sini semalam.

Wanita berusia 26 tahun berkenaan tertarik untuk memohon pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 selepas melihat iklan disiarkan secara dalam talian pada 15 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita itu menghubungi seorang lelaki melalui nombor telefon yang disertakan bersama iklan pinjaman tersebut.

“Pada hari yang sama, suspek lelaki itu memaklumkan pinjaman tersebut telah lulus dan mangsa perlu membayar RM1,500 untuk membolehkan amaun pinjaman dimasukkan ke dalam akaun bank.

“Selepas membayar, suspek meminta lagi RM2,500 untuk jaminan dokumen serta RM4,000 bagi urusan yuran setem hasil,” katanya di sini semalam.

Mohd. Wazir menambah, mangsa juga diminta membayar RM5,000 untuk yuran guaman dan tambahan RM3,500 bagi tujuan meningkatkan kredit kelulusan pinjaman.

Ujar beliau lagi, semua bayaran tersebut dimasukkan ke dalam akaun seorang wanita seperti yang diarahkan oleh suspek pada hari yang sama.

Tambahnya, mangsa menghubungi suspek semalam untuk membatalkan permohonan pinjaman dan meminta wangnya dikembalikan.

“Suspek meminta RM2,000 untuk yuran pembatalan dan dibayar oleh mangsa ke dalam akaun berlainan sebelum menyedari telah tertipu,” katanya.

Kes dilaporkan di Balai Polis Ringlet, Cameron Highlands dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN