JOHOR BAHRU: Dua remaja lelaki cedera selepas kenderaan jenis Perodua Aruz dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Stulang Darat, di sini semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Nor Zait Iskandar Mohd. Nor berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada pukul 12.55 malam.
Menurutnya, 13 anggota beserta lima buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kenderaan Perodua Aruz dinaiki dua remaja berkenaan didapati telah terbabas ke dalam parit di Jalan Stulang Darat menghala ke Bangunan Sultan Iskandar.
“Kedua-dua mangsa yang berusia 18 dan 17 tahun mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nor Zait Iskandar, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan.
Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 1.18 pagi. – UTUSAN