MELAKA: Dua remaja berusia 17 dan 16 tahun yang dipercayai aktif melakukan sekurang-kurangnya enam kegiatan pecah kedai di sekitar Tanjung Minyak di sini dicekup polis, kelmarin.
Kedua-dua sahabat yang tidak bersekolah itu ditahan selepas melakukan jenayah terbaharu mereka di sebuah kedai menjual pintu kayu di Taman Tanjung Minyak kira-kira pukul 8 pagi, pada hari yang sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, kejadian tersebut disedari pemilik premis tersebut selepas melihat keadaan pejabatnya berselerak.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan umpil pada tingkap tandas di belakang kedai selain kepingan tingkap ditanggalkan dipercayai untuk suspek memasuki bangunan tersebut.
“Berdasarkan siasatan, komputer riba, wang tunai RM300, jam tangan, mesin penebuk pintu dan mesin gerudi didapati hilang yang dianggarkan kerugiannya mencecah RM8,000,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE