KUALA KRAI: Dua pondok kayu hiasan di Gunung Stong, Dabong, di sini yang semakin popular dan menjadi tumpuan orang ramai, rosak dan tumbang dipercayai angkara perbuatan khianat, semalam.
Kejadian itu disedari penduduk kampung kira-kira pukul 7.30 pagi.
Seorang penduduk, Wan Zonnum Al Masri, 24, berkata, ketika melalui kawasan itu untuk solat Subuh pada pukul 5.30 pagi, penduduk melihat pondok itu masih berada dalam keadaan baik di kedudukan asal
“Namun dua jam kemudian kami terkejut mendapati dua pondok kayu hiasan disediakan Majlis Daerah Dabong (MDD) yang berlatar belakang air terjun Gunung Stong sudah terbalik menyembah bumi.
“Papan tanda gergasi Gunung Stong yang menjadi mercu tanda dan tempat orang ramai bergambar yang baru dibina (MDD) bagaimanapun dalam keadaan baik dan tidak terusik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, warganet berkongsi klip video dan gambar-gambar pondok terbabit sudah rosak dan tumbang walaupun baru sahaja dibina.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin menerusi akaun Facebooknya meminta polis menyiasat sekiranya ada unsur khianat kerana kejadian itu membabitkan lokasi pelancongan popular di Kelantan.
Wan Zonnum yang juga Pemandu Pelancong Alam Semulajadi berkata, Kampung Dabong yang dahulunya tempat ‘jin bertendang’, diakui semakin popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negeri.
“Pondok kayu tersebut diletakkan di laluan menuju ke Gunung Stong dan lokasi itu amat cantik untuk merakam kenangan bergambar kerana boleh nampak air terjun gunung tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu yang dibuat oleh Majlis Daerah Dabong (MDD), semalam.
“Dua pondok kayu tersebut bernilai RM10,000 dan kos untuk membaikinya dianggarkan RM4,000,” katanya sambil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. -UTUSAN ONLINE