BENTONG: Dua sahabat baik yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak di Kilometer 26 Jalan Utama Felda Mempaga di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, penunggang motosikal Modenas Kriss, Muhammad Fikrie Mohd. Azhari,15, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya, Muhammad Haziq Iskandar Khairul Amir, 15, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Mempaga.
Ketua Polis daerah, Superintenden Yusof Unis berkata, semasa kejadian kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sertik itu dalam perjalanan dari Felda Mempaga ke Sertik.
“Apabila sampai di tempat kejadian selepas selekoh dipercayai penunggang motosikal hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan mengakibatkan berlaku pelanggaran dengan lori yang datang dari arah hadapan.
“Akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng dibawa menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Tambah Yusof, pembonceng motosikal dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi ketika mendapat rawatan di Klinik Mempaga.
Beliau berkata, kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan. -UTUSAN ONLINE