KUALA LUMPUR: Seorang peniaga pasar malam dan seorang penganggur mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan ibu kandung masing-masing, minggu lalu.
Di ibu negara, Abdul Halim Ahmad Fuad, 40, didakwa mencederakan ibunya, Rahyah Abd. Rahman, 70, kira-kira pukul 7.30 pagi, 28 November lalu di sebuah rumah di Jalan Jambu Golok, Taman Seri Delima, Sentul di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Illya Syaheedah Mohd. Razif mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.
Menurut fakta kes, peniaga terbabit bertindak memarahi dan menumbuk kepala ibunya selepas wanita terbabit enggan memberikan wang kepadanya.
Selepas merekodkan pengakuan dan mendengar hujah serta rayuan tertuduh yang mendakwa dirinya mempunyai masalah psikologi, Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap lelaki itu.
Sementara itu di Mahkamah Majistret Selayang, Masshahrudin Mohames Soa’aid, 37, didakwa telah memukul kepala dan badan ibunya, Maimunah Smat, 65, kira-kira pukul 9 pagi, 25 November lalu di sebuah kedai dobi, Jalan Permai 1, Selayang Prima, Batu Caves dekat sini.
Difahamkan lelaki berkenaan tiba-tiba mengamuk dan mula memukul ibunya.
Pertuduhan terhadap penganggur itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni mengikut seksyen yang sama.
Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan tidak menetapkan sebarang ikat jamin memandangkan tiada penjamin hadir untuk berbuat demikian dan kes itu ditetapkan untuk jatuh hukum pada 25 Januari 2021. – UTUSAN