Dua didakwa sebabkan pencemaran Sungai Gong - Utusan Malaysia

Dua didakwa sebabkan pencemaran Sungai Gong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan melepas dan melupuskan bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang, pertengahan bulan lalu.

Chai Kin Siang, 62, dan anaknya, Chai Wern Teik, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajuddin.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari premis FG Autoparts Sdn. Bhd. dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Mereka juga didakwa dengan niat bersama didakwa melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari premis sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama.

Kedua-dua pertuduhan didakwa dilakukan antara 17 dan 19 Oktober lalu di bilik pameran syarikat itu di Lot 16273 Jalan Sungai Bakau, Batu Arang, Rawang dekat sini.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dijamin RM400,000 berserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula 16 Disember ini.

Pada 19 Oktober lalu, Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada pukul 12.38 tengah malam menyebabkan beberapa empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Pemberhentian tugas empat LRA itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula daripada syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN