ALOR GAJAH: “Tolonglah…kasihan emak, siapa mahu salin lampin dia kalau saya kena tangkap,” kata seorang penagih sambil melutut di hadapan penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebelum dicekup di rumahnya di Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 37 itu antara 11 individu yang ditangkap di rumah masing-masing selepas didapati positif dadah dalam Op Perdana dijalankan AADK kira-kira lima jam yang berakhir pukul 1 pagi di lapan lokasi sekitar daerah ini.
Dalam tangkapan itu, lelaki berkenaan mengakui telah mengambil dadah jenis morfin dan pernah dikenakan hukuman penjara serta 10 kali sebatan, selain dihantar ke pusat pemulihan sebelum ini atas kesalahan sama.
“Saya sakit termasuk ada penyakit tibi, kalau saya tak ambil dadah akan rasa lebih sakit. Saya dah hisap dadah lebih 10 tahun dan pernah cuba untuk berhenti selepas ditangkap dahulu tetapi tidak berjaya,” katanya ketika disoal penguatkuasa AADK di sini.
Lelaki itu memberitahu, ibunya yang berusia 61 tahun hanya mampu duduk di atas katil dan tidak boleh menguruskan dirinya sendiri selepas diserang strok sejak dua bulan lalu.
“Hanya saya yang menjaga emak, abang saya entah ke mana, adik perempuan pula berada di Singapura dan tidak boleh pulang kerana Covid-19,” katanya yang bekerja sebagai tukang cuci.
Dalam tangkapan berasingan pula, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang tinggal berdua di rumah dengan bapanya menangis teresak-esak selepas lelaki berusia 30-an itu turut ditahan kerana dikesan positif dadah jenis syabu.
Sementara itu, Pengarah AADK negeri, Nazir Mohamad berkata, situasi menyayat hati itu adalah senario biasa yang sering dihadapi oleh penguatkuasa ketika menjalankan tugas mengekang masalah penagihan dadah.
Katanya, sejak Januari lalu sehingga semalam, seramai 909 individu telah ditangkap berdasarkan aduan diterima daripada ahli keluarga sendiri dan jiran tetangga.
“Kita juga telah menjalankan Op Perdana ini selama empat hari bermula 20 hingga 24 November dan sepanjang operasi itu, 86 individu telah ditahan dengan 83 daripada mereka positif.
“Malam ini pula kita menangkap 14 lagi dengan kesemua mereka positif. Tangkapan ini adalah hasil aduan keluarga dan jiran tetangga dan 98 peratus daripada maklumat diterima adalah tepat kerana mereka melakukan kegiatan ini di dalam rumah,” katanya.
Mengulas lanjut, Nazir berkata, daripada jumlah besar tersebut, 16 daripada yang ditahan adalah penjawat awam, manakala selebihnya adalah penganggur berusia 41 dan ke atas.
Kesemua yang ditahan dikenakan tindakan lanjut mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. -UTUSAN ONLINE