SHAH ALAM: Dalam menangani masalah pencemaran sungai sehingga mengakibatkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA), kerajaan negeri menyediakan draf pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, draf pindaan itu disediakan Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.
“Draf ini disediakan bagi menaikkan jumlah penalti (denda dan atau penjara) dan nilai kompaun serta menetapkan standard pelepasan yang lebih ketat.
“Pada masa sama, JAS negeri juga melaksanakan pemeriksaan secara berjadual terhadap industri yang menghasilkan efluen perindustrian dan menjana buangan terjadual serta melaksanakan siasatan segera terhadap kes-kes pencemaran sungai,” katanya di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.
Terdahulu, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Mohd. Shamsudin Lias berkaitan tindakan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah pencemaran di Selangor.
Dalam pada itu, Loy Sian berkata, sebanyak 106 kompaun melibatkan jumlah RM212,000 telah dikeluarkan JAS negeri sehingga September lalu.
Menurutnya, bagi Lembaga Urus Air Selangor pula, notis pemberitahuan kesalahan, surat arahan dan tindakan perobohan bersepadu serta kertas siasatan telah dibuka bagi kes pencemaran sungai.
“Tindakan penguatkuasaan di ambil ialah 91 pertuduhan telah dibawa ke mahkamah yang membawa denda sebanyak RM915,000. Malah, tindakan perobohan bersepadu di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 yang diketuai Pentadbir Tanah Gombak bersama LUAS dan agensi-agensi penguatkuasaan lain pada 20 April lalu.
“Manakala, kira-kira 228 kompaun melibatkan jumlah lebih RM57,150 telah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan berkaitan pencemaran sungai. Antara tindakan diambil ialah sitaan premis, menarik lesen, pemotongan bekalan air dan elektrik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE