Dividen KWSP mungkin kekal rendah - Utusan Malaysia

Dividen KWSP mungkin kekal rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Tidak akan menjejaskan kewangan KWSP tetapi mungkin akan menyebabkan dividen tahun hadapan kekal rendah sekitar 5 hingga 5.5 peratus sahaja.”

Itu pandangan Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff mengenai keputusan kerajaan memperluaskan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada kira-kira lapan juta ahlinya.

Ahmed Razman berkata, walaupun lapan juta ahli dibenarkan untuk memohon pengeluaran melalui i-Sinar, namun beliau tidak melihat majoriti akan layak berbuat demikian.

“Mungkin sekitar satu juta yang terjejas pendapatannya dan layak memohon pengeluaran. Selain itu, pengeluaran juga dibuat secara berkala selama enam bulan.

“Ini akan membolehkan KWSP menstruktur semula strategi pelaburannya untuk enam bulan pertama tahun hadapan supaya mempunyai cukup tunai bagi menampung pengeluaran di bawah i-Sinar. Pada masa yang sama mampu membuat pelaburan strategik yang membolehkan komitmen untuk mencapai sasaran dividen tahunan diperolehi,” katanya.

Beliau sehubungan itu menolak andaian sesetengah pihak kemungkinan kewangan KWSP boleh `runtuh’ berikutan jangkaan pengeluaran besar dalam tempoh singkat, melibatkan jumlah keseluruhan RM70 bilion.

“Jumlah RM70 billion merupakan jangkaan sahaja tetapi bergantung kepada mereka yang benar-benar layak. Dan amaun ini akan dikeluarkan beransur-ansur setiap bulan.

“Jika satu juta ahli layak mengeluarkan RM10,000, mereka boleh keluar RM5,000 pada bulan pertama, maka itu baru RM5 bilion keluar daripada KWSP dalam bulan pertama, diikuti RM1 bilion setiap bulan selama lima bulan seterusnya,” jelasnya.

Ditanya keperluan KWSP mencari sumber lain untuk menampung `lompang’ pengeluaran tersebut, Ahmed Razman berkata, dana pencen terbesar negara itu mesti dibenarkan melabur dalam pelaburan yang memberi pulangan lebih tinggi seperti pelaburan ekuiti di luar negara dan tidak hanya tertumpu kepada pasaran domestik.

“Dengan pengurangan wang untuk melabur, strategi itu sahaja yang mampu menjamin pulangan dividen yang tinggi kepada pencarum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN