Didakwa seludup 27 PATI warga India - Utusan Malaysia

Didakwa seludup 27 PATI warga India

Dua anggota polis berpangkat sarjan dan konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Sungai Petani, semalam atas pertuduhan menyeludup 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua anggota polis berpangkat sarjan dan konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berkenaan.

Kedua-dua tertuduh iaitu Sarjan Mohd. Fazlan Abdullah, 58, dan Konstabel Mohammad Faiz Idris, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mohd. Fazlan bertugas di Balai Polis Pengkalan Hulu, Perak manakala Mohammad Faiz berkhidmat di Cawangan Kem Komandan, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menjalankan penyeludupan 27 migran warga India di Lot 1004, Kampung Haji Abas, Baling dekat sini, kira-kira pukul 12.15 tengah malam pada 23 Mei 2019.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam mewakili Mohd. Fazlan, Jesvinderjit Singh memohon supaya anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin kerana tertuduh menghidap penyakit jantung dan baru sahaja menjalani pembedahan pada tahun lalu.

Mahkamah bagaimanapun tidak membuat keputusan berhubung jaminan ke atas kedua-dua tertuduh kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh ditahan di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sementara menunggu tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi di sini yang ditetapkan pada 7 Disember ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Fazril Sani Mohamed Fadzil sementara tertuduh, Mohd. Fazlan dan Mohammad Faiz masing-masing diwakili peguam, Jesvinderjit serta Mohd. Alif Affandi Zulkifli dan Mohd. Hafiz Jalaluddin. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN