KANGAR : Pada usia emasnya kini, tidak ada apa yang diharapkan lagi oleh Zaharah Zakaria,65, selain dapat hidup tenang di rumah bagi meneruskan sisa-sisa hidup.
Namun, tidur malam Zaharah dan 14 keluarga lain dari Kampung Seri Kesinai, Padang Besar sudah tidak lelap seperti dulu apabila mereka dijangka berdepan tindakan pengusiran selepas menetap di tanah dikatakan milik persendirian sejak puluhan tahun lalu.
Zaharah berkata, dia menetap di situ sejak tahun 1987 dan sebelum ini mereka dimaklumkan bahawa tanah di kawasan tersebut adalah milik kerajaan sehinggalah seorang individu tampil memaklumkan bahawa tanah berkenaan adalah miliknya dan perkara itu telah dibawa ke mahkamah.
Katanya, dia buntu di mana akan tinggal selepas ini jika langkah pengusiran itu dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Selepas kematian suami, saya tinggal dengan salah seorang daripada empat anak saya di rumah ini. Sekitar tahun 1987 dahulu, suami pernah pergi ke pejabat tanah dan dimaklumkan bahawa status tanah di kawasan tersebut adalah milik kerajaan dan mereka dibenarkan tinggal di situ.
“Sekitar 2017 atau 2018, kami baru tahu bahawa tanah tersebut adalah milik persendirian selepas menerima notis agar keluar daripada kawasan tersebut. Siang malam, mak cik susah hati memikirkan nasib selepas ini dan berharap kerajaan negeri dapat membantu,” katanya.
Terdahulu, keluarga terbabit bersama wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) hadir ke Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man agar membantu mereka dalam isu tersebut.
Memorandum itu disampaikan oleh Pengerusi PSM, Dr. Jeyakumar Devaraj kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Harmizan Abd. Halim untuk dipanjangkan kepada Azlan.
Seorang lagi penduduk, Fatimah Mohd. Zain,46, berkata, dia bersama suami membina rumah di bersebelahan kediaman ibunya di kawasan tersebut sejak tiga tahun lalu dengan perbelanjaan sekitar RM50,000.
“Saya hanya bekerja di kantin sekolah manakala suami pula melakukan kerja-kerja kampung. Kami sudah tidak mampu membina rumah baharu di kawasan lain selepas duit sudah digunakan membina rumah di situ.
Kadang-kadang saya menangis seorang diri memikirkan nasib selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Jeyakumar pula berkata, penduduk mungkin berdepan tindakan pengusiran selepas pemilik tanah telah mengemukakan geran tanah itu malah mereka juga mempunyai geran lama sejak 1972.
“Saya berharap kerajaan dapat membantu kerana di belakang kawasan kampung tersebut ada lot tanah seluas 3.6 hektar milik kerajaan yang mungkin boleh mempertimbangkan membina rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) untuk keluarga terbabit memandangkan kebanyakan penduduk di situ terdiri daripada orang susah,” katanya.- UTUSAN ONLINE