KUALA LUMPUR: Sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas baharu diluluskan Dewan Rakyat bagi menggantikan 10 jawatankuasa sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan berkata, penubuhan jawatankuasa itu berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian.
Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas itu mempunyai kuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan mengenai apa yang berkaitan dengan bidang tugas dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa serta tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Laporan akan dikeluarkan hasil daripada siasatan oleh jawatankuasa berkenaan perlu dibentangkan di dalam Dewan.
“Penyata yang dibentangkan boleh dicadangkan untuk dibahas, diterima dan dipersetujui oleh Majlis melalui usul di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Jawatankuasa pilihan khas yang baharu itu adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak di bawah perlembagaan; Kewangan dan Ekonomi; Keselamatan; Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri; Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri; Pembangunan dan Infrastruktur; Pendidikan; Kesihatan, Sains dan Inovasi; serta Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial.
Jawatankuasa mesti mengandungi tujuh anggota termasuk pengerusi dan tempoh pelantikan selama dua tahun.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Dewan dalam mesyuarat juga bersetuju Seksyen Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat di Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat menjadi sekretariat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas itu bagi membolehkan ia berfungsi dengan lancar dan berkesan.
Selain itu, katanya, penubuhan Kumpulan Parlimen Rentas Parti (APPGM) diteruskan dengan mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan.-UTUSAN ONLINE