Dewan kecoh, Keningau langgar kuarantin - Utusan Malaysia

Dewan kecoh, Keningau langgar kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat ‘kecoh’ sebentar apabila terdapat ahli Parlimen dari Sabah yang didakwa tidak menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan hadir pada persidangan hari ini.

Beliau ialah Datuk Dr. Jeffery Kitingan (STAR-Keningau) yang telah pulang ke Sabah untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 November lalu.

Antara yang bangun membangkitkan perkara itu kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said ialah Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Datuk Mohd. Azis Jamman (Warisan-Sepanggar).

Mohd. Azis berkata, adalah tidak adil untuk membenarkan Jeffery hadir ke Parlimen berikutan belum cukup 14 hari tempoh kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Katanya lagi, situasi itu juga jelas mendedahkan ahli-ahli Parlimen yang lain dengan kemungkinan jangkitan Covid-19.

“Saya duduk di Kuala Lumpur ini sudah hampir dua bulan tidak jumpa anak dan isteri. Yang berhormat Keningau menghadiri DUN Sabah pada hari Khamis, 12 November. Jadi bermakna kalau dikira mengikut tarikh, dia sepatutnya tidak berada di dalam dewan ini,” katanya.

Azalina ketika membacakan penjelasan daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, Jeffery telah mendapat relief order daripada pegawai perubatan klinik Parlimen.

Walau bagaimanapun, Azalina tidak memberi penjelasan lanjut berkenaan relief order yang dimaksudkan

“Yang berhormat telah dibenarkan hadir oleh doktor klinik Parlimen, beliau telah mendapatkan relief order selepas tamat kuarantin daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Perkara itu sekali lagi dibangkitkan Mohd. Azis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selepas Menteri Kanan Pendidikan, Mohd. Radzi Jidin selesai membuat penggulungan bagi kementeriannya.

Azhar kemudian menjelaskan, Jeffery telah mendapat relief order daripada Kementerian Kesihatan pada 23 November lalu dan gelang pengawasan juga turut dipotong pada hari sama.

“Dan juga wristband (gelang pengawasan) telah dipotong oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lembah Pantai pada 23 November 2020 selepas menjalani kuarantin dan juga didapati keputusannya negatif. Kuarantinnya dari 12 November sehingga 23 November 2020,” jelasnya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN