MARAN: Tiada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada penganut Hindu yang mengadakan acara sembahyang di 105 kuil di negeri ini sempena perayaan Deepavali, esok.
Sebaliknya, pengurusan kuil ini diingatkan supaya mematuhi SOP perayaan Deepavali sebagai mana ditetapkan kerajaan negeri dengan mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, keputusan itu sebagai langkah tegas bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
“Kerajaan Pahang bertekad supaya zon hijau kekal di negeri ini dan tiada kompromosi mana-mana individu yang melanggar SOP yang ditetapkan.
“Sebelum memasuki kuil, penganut Hindu wajib mematuhi SOP penjarakan fizikal satu meter, pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup muka, menggunakan aplikasi MySejahtera dan cecair nyah kuman,” katanya dalam sidang akhbar di rumah rakyat Felda Jengka 3 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Pahang, Mansor Mohd. Hashim.
Shahaniza berkata, kapasiti penganut Hindu dibenarkan masuk ke kuil bagi satu-satu masa mengikut kategori kuil seperti kategori A (50 orang), kategori B (40 orang) dan kategori C (30 orang).
Tambahnya, waktu sembahyang di kuil pula dibenarkan mengikut waktu operasi SOP baharu Deepavali ditetapkan oleh MKN bermula pukul 7 pagi sehingga 12 tengah hari.
Beliau menambah, interaksi sami dengan penganut agama Hindu mestilah terhad dan mematuhi penjarakan fizikal satu meter yang ditetapkan.
“Penganut Hindu dari lain-lain daerah perlu merancang perjalanan mereka kerana tempoh masa dibenarkan bersembahyang di kuil terhad,” katanya. -UTUSAN ONLINE