PADANG BESAR : Sambutan Deepavali tahun ini sedikit suram bagi sebuah keluarga dari Kampung Kolam di sini apabila buat pertama kalinya mereka menyambut perayaan tanpa anak-anak dan cucu yang tidak dapat pulang ke kampung halaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Empat daripada lima anak K. Perumal tidak dapat pulang kerana berada di Kuala Lumpur dan Singapura sekali gus menyebabkan persediaan sambutan hari raya tersebut dibuat secara serba sederhana.
Namun, keluarga tersebut masih tidak bersendiri apabila jiran dan rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai kaum hadir ke rumahnya bagi memeriahkan sambutan Deepavali kali ini.
Perumal yang mempunyai 15 cucu berkata, dia akur dengan situasi tersebut demi memastikan keselamatan dan wabak Covid-19 dapat dicegah.
“Tahun ini kami buat ala kadar sahaja dengan beberapa jenis masakan seperti kari ayam, kari kamping, capati dan tosai. Kalau tahun lepas kami masak nasi tomato dan lebih banyak juadah lagi.
“Walaupun anak-anak tak dapat balik kami sambut dengan keluarga di sini serta jiran tertangga yang berbilang kaum. Kawan-kawan yang datang pun mereka datang dalam tiga empat orang sekali supaya tidak ramai dalam satu-satu masa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, sahabatnya, Datuk Rashid Jassin berkata, sudah menjadi kebiasaan pada setiap tahun dia datang untuk meraikan sambutan Deepavali di rumah sahabatnya itu.
“Inilah keunikan masyarkat negara ini kerana setiap kali sambutan tidak kira Deepavali, Hari Raya Aidilfitri atau Tahun Baru Cina, kita akan meraikan secara bersama.
“Cuma tahun ini kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, namun sambutan Deepavali masih dijalankan dengan mengikut normal baharu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Aan yang meluangkan masa melawat rumah Perumal sempena sambutan Deepavali itu berkata, walaupun Perlis tidak terlibat dengan PKPB, namun rakyat di negeri ini dinasihatkan untuk menyambut hari raya itu mengikut normal baharu.
“Untuk negeri yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jumlah orang ramai yang dibenarkan dalam sesuatu majlis seperti kenduri adalah 250 orang sahaja.
“Di samping itu, mereka yang pulang ke negeri ini juga dinasihatkan untuk melakukan kuarantin di rumah bersama semua ahli keluarga selama 14 hari bagi mengelakkan berlaku jangkitan baharu,” katanya. -UTUSAN ONLINE