Deepavali: Kuil buat operasi semburan sanitasi - Utusan Malaysia

Deepavali: Kuil buat operasi semburan sanitasi

Kelihatan petugas kebersihan kuil sedang melakukan operasi sanitasi dan pembersihan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seksyen 7 Shah Alam hari ini- UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sempena sambutan Deepavali yang akan disambut esok, pengurusan Kuil Sri Maha Maariamman Devasthanam, Seksyen 7 di sini bersedia mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi upacara sembahyang.

Tinjauan hari ini mendapati operasi semburan sanitasi atau nyah kuman giat dijalankan di seluruh kawasan kuil berusia 120 tahun berkenaan sejak awal pagi.

Setiausaha kuil itu, N. Sundramoorthy, 61, berkata pihaknya akan menempatkan seramai 30 kakitangan dan pekerja untuk menguruskan sesi upacara sembahyang bermula pukul 7 pagi.

Menurutnya, semua penganut agama Hindu yang hadir diwajibkan mendaftar nama secara manual atau aplikasi MySejahtera.

“Mereka akan ditempatkan di beberapa khemah dan dibenarkan masuk ke dalam kuil secara berperingkat selepas menjalani saringan suhu.

“Selain wajib memakai pelitup muka, kita tidak membenarkan sama sekali kemasukan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, warga emas dan mereka yang bergejala Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Sundramoorthy, pihaknya melaksanakan inisiatif sendiri dengan melakukan semburan sanitasi di seluruh kawasan kuil secara berkala.

“Oleh demikian, kita meminta semua penganut Hindu mematuhi SOP bagi mengelak penularan pandemik tersebut. Kita tidak menolak kemungkinan jumlah kehadiran penganut ramai namun perlu akur dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya.

Minggu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan penganut agama Hindu dibenarkan menyertai upacara sembahyang di kuil sempena Deepavali pada hari pertama perayaan saja.

Namun, SOP itu hanya untuk kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setiap kuil itu diperuntukkan lima sesi upacara sembahyang bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan boleh dihadiri tidak lebih 30 orang pada satu-satu masa.

Setiap sesi hanya mengambil masa selama 30 minit dan manisan turut perlu diagihkan secara berbungkus serta terus bersurai selepas selesai upacara sembahyang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya