JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menjangkakan skim ketiga pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura iaitu Daily Commuting Arrangement (DCA) bakal dilakukan masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya telah membentangkan prosedur operasi standard (SOP) khas berhubung pelaksanaan skim itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.
Katanya, SOP itu juga menyentuh persediaan kerajaan negeri untuk melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 sehingga 30,000 ujian dalam sehari.
“Saya telah membentangkan SOP itu dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
“Berdasarkan maklum balas Perdana Menteri semalam, MKN akan membincangkan SOP khas yang dikemukakan Johor bagi pelaksanaan DCA ini sebelum memaklumkan Kementerian Luar untuk tindakan seterusnya.
“Kita akan berhubung dengan Kementerian Luar supaya SOP khas berkenaan dapat dimuktamadkan segera agar DCA dapat dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Digital Johor di sini hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri pernah mengusulkan DCA iaitu cadangan skim rentas sempadan ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang telah dilaksanakan masa kini.
Sekiranya DCA dilaksanakan, rakyat dari kedua-dua negara dapat berulang-alik merentasi sempadan pada setiap hari sama ada untuk pekerjaan atau untuk tujuan pendidikan.
Mengulas lanjut, Hasni menambah pihaknya mencadangkan agar skim DCA itu dimulakan dengan sektor pendidikan dahulu terutama pelajar, ibu bapa dan guru yang sama ada di kolej dan institusi swasta di negeri ini atau Singapura.
Katanya, jika dilaksanakan, secara permulaan ia akan membabitkan 7,000 individu atau pekerja terlebih dahulu selama tempoh 10 hari.
“Selepas itu, jumlah itu akan ditambah bagi menambah bilangan kemasukan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura,” katanya. – UTUSAN