SEREMBAN: Ketua Guru Garratt Park School di London, Michael Reeves memberitahu remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin, merupakan kanak-kanak istimewa yang tidak mampu menyeimbangkan badan dan berjalan seperti manusia normal lain.
Malah, katanya, Nora Anne juga mempunyai masalah pembelajaran serta komunikasi lambat bercakap atau ‘speech delay’.
Michael memberitahu Mahkamah Koroner di sini, remaja itu belajar di sekolah khas untuk golongan istimewa tersebut sejak September 2015 pada usia 11 tahun sehingga 2019 sebelum ditemui hilang dan meninggal dunia.
“Ya, saya mengenali Nora Anne secara peribadi dan tahu keadaannya, saya pernah menjadi guru ganti Nora Anne apabila gurunya bercuti selain melihatnya beberapa kali ketika waktu makan tengah hari dan di padang permainan.
“Daya keseimbangan dan postur badannya sangat lemah tidak boleh meluruskan badan, malah keadaan fizikalnya itu menyukarkan Nora Anne terlibat dalam beberapa aktiviti di sekolah,” katanya.
Michael, 59, saksi ke-37 dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne berkata demikian ketika memberikan keterangan di hadapan Koroner Maimoinah Aid.
Prosiding yang masuk hari ke-17 itu dijalankan secara penstriman dalam talian.
Dalam dua jam prosiding itu, Michael berkata, daripada segi hubungan sosial, Nora Anne mempunyai keyakinan diri yang lemah dan sukar menunjukkan ekspresi (perasaan) kepada orang lain.
“Disebabkan msalah fizikal itu, saya juga tidak pernah melihat Nora Anne berlari, sebab takut terjatuh.
“Selain itu, Nora Anne tidak bercakap dengan orang tidak dikenali sebaliknya hanya berkomunikasi dengan kawan-kawan kelasnya yang cukup rapat (empat ke lima orang),” katanya.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ Atiqah Sapari adakah beliau pernah bertemu dengan ibu bapa Nora Anne, Michael memaklumkan bahawa pernah bertemu mereka ketika Hari Pertemuan Bersama Ibu Bapa yang diadakan di sekolah.
Mahkamah kemudiannya memohon supaya Michael menyerahkan dokumen sokongan tahunan berkaitan kesihatan dan pendidikan Nora Anne sepanjang mengikuti pembelajaran di Garratt Park School sejak 2016 hingga 2019.
Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.
Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.
Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan dalam tempoh yang lama
Prosiding itu akan bersambung semula pada 23 November depan (Isnin). -UTUSAN ONLINE