PUTRAJAYA: Data pentadbiran granular atau kebiasaannya disebut sebagai data sekunder kini menjadi sumber penting bagi pihak kerajaan dalam membuat pengumpulan statistik rasmi.
Perkara itu antara ditekankan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali untuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai agensi pusat penyelarasan sistem statistik nasional.
“Ini dapat mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada data primer yang lazim dikumpul sendiri pihak DOSM secara banci atau kaji selidik pada tempoh masa berkala tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar My Local Stats 2020: Statistik Daerah dan Tempatan Ke Arah Kecekapan Perancangan dan Pengurusan Sumber hari ini.
Program secara maya itu juga disaksikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, penggunaan data sekunder secara tidak langsung boleh mengurangkan kos dan penjimatan tenaga bagi pengumpulan data daripada pelbagai agensi.
“Data ada hari ini tidak kejat (kaku) dan berada di merata-rata tempat seperti kementerian dan agensi kerajaan pusat serta negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat milik kerajaan,” katanya.
Ujarnya, mereka mempunyai pangkalan data masing-masing dalam keadaan bersendiri dan tidak diselaras penggunaan metodologi, piawaian serta kadang-kadang berbeza definisi.
Justeru jelas Mohd. Zuki, sistem statistik negara perlu diperkukuhkan untuk memastikan data dikoordinasi dan dapat digunakan kerajaan merangka dasar serta buat keputusan tepat.
“Kerajaan bersetuju DOSM yang bertanggungjawab membantu, menyelaras dan mengawal penghasilan statistik pelbagai agensi mengikut standard sebelum diabsahkan,” tegas beliau.
Bagi tujuan ini, kerajaan memutuskan pelantikan Chief Data Officer di setiap kementerian, jabatan dan agensi dengan dikawal selia DOSM untuk mekanisme perkongsian sistematik.
Kerjasama pengumpulan statistik granular ujarnya, dengan inisiatif dibuat DOSM untuk data lebih terperinci sehingga peringkat daerah, juga sejajar era digital dan revolusi industri 4.0.
“Perancangan ini hanya berjaya jika dipandu statistik yang berintegriti dan bertepatan masa selain amat perlu kemahiran analitik data digabung jalin rekod pentadbiran awam,” katanya. -UTUSAN ONLINE