Darurat wajar dipertimbangkan di Gerik - Utusan Malaysia

Darurat wajar dipertimbangkan di Gerik

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengisytiharan darurat di Batu Sapi, Sabah bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu ditangguhkan juga sewajarnya dipertimbangkan bagi PRK Parlimen Gerik.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, malah perkara sama juga boleh dilaksanakan bagi PRK Bugaya di Sabah berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Manis Muka Mohd. Darah pada 17 November lalu.

Menurutnya, pengisytihatan darurat di kawasan yang sepatutnya mengadakan PRK merupakan langkah terbaik bagi membendung wabak Covid-19.

“Saya percaya Speaker Dewan Rakyat akan memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi Gerik dan kalau ikut peraturan, perlu diadakan PRK 60 hari daripada notis kekosongan diterima.

“Tapi mengambil pengajaran selepas Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, saya fikir mungkin perkara yang sama boleh diadakan di Gerik, malahan juga di DUN Bugaya di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Program Projek Khas Tani Covid-19 di sini hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bersetuju mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, Sabah bagi menangguhkan PRK yang sepatutnya diadakan pada 5 Disember ini.

Keputusan dibuat bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat wabak Covid-19, selepas mendengar taklimat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, ditanya sama ada Bersatu berminat untuk meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Gerik, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, parti itu akan bekerjasama dengan UMNO dan Pas.

“Mereka telah jadi rakan kami dalam PN (Perikatan Nasional) dan kami akan sepakat untuk letakkan seorang calon tanpa perlu berlawan sesama sendiri,” katanya.

Ahli Parlimen Gerik dari Barisan Nasional (BN), Datuk Hasbullah Osman, 63, meninggal dunia di Raub akibat serangan jantung pada Isnin lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN