Daki bukit, dirikan kanopi untuk ambil ujian secara online

Berkhemah atas bukit untuk ambil ujian dalam talian

NURLIEDA Khaleeda Mohd. Azmi ditemani bapanya, Mohd. Azmi Ahmad mendaki bukit belakang rumahnya ke kawasan kanopi yang dibina bapanya untuk menjalani ujian dan pembelajaran secara dalam talian di Kampung Bukit Petai 7 Gual Ipoh, Tanah Merah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Gara-gara capaian internet lemah, seorang pelajar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terpaksa berkhemah atas bukit di belakang rumahnya di Bukit Petai 7, Gual Ipoh, di sini setiap hari bagi mengambil ujian secara online.

Demi keselesaan gadis itu, bapanya pula mengambil inisiatif mendirikan sebuah kanopi kecil di atas bukit dengan ketinggian kira-kira 20 meter tersebut.

Nurlieda Khaleeda Mohd. Azmi, 20 pelajar tahun dua Diploma Teknologi Makmal Perubatan berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini membataskan pergerakannya untuk ke bandar terdekat.

“Sebelum ini, saya akan keluar ke Bandar Baru Tanah Merah untuk belajar menggunakan Google Meet. Demi mendapatkan internet yang laju, saya akan duduk di dalam kereta sehingga kelas tamat.

“Sekarang musim ujian. Saya perlukan internet untuk menjawab ujian secara online dan satu-satunya tempat yang mempunyai capaian internet bagus adalah kawasan bukit di belakang rumah saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Gambar Nurlieda sedang menjawab ujian di bawah kanopi di atas bukit di belakang rumahnya itu tular dalam media sosial dan menarik perhatian warganet. 

Menurut Nurlieda, selain PKPB, faktor hujan berterusan sejak empat hari lalu menyukarkan dia keluar ke bandar Tanah Merah biarpun jaraknya hanya tiga kilometer dari rumah.

“Ujian saya berbaki dua kertas lagi yang perlu diduduki dalam masa terdekat ini. Syaratnya memerlukan saya dirakam dari belakang ketika ujian berlangsung bagi mengelak penipuan. Jadi ini pilihan terbaik yang saya ada,” katanya.

Bapanya, Mohd. Azmi Ahmad, 48, berkata, dia tidak dapat menghantar anaknya ke bandar Tanah Merah seperti kebiasaan kerana laluan utama keluar masuk kampung mereka sudah dinaiki air.

“Saya pasang kanopi di atas bukit dan sambung bekalan elektrik dari rumahnya ke atas bukit bagi memudahkan anak saya memasang komputer riba selain membuka kipas bagi mengelak gangguan nyamuk. 

“Laluan mendaki bukit ini agak licin dan perlu didaki dengan berhati-hati. Kawasan ini juga ada pacat dan banyak nyamuk. Inilah pengorbanan perlu dilalui anak saya demi menimba ilmu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya