SHAH ALAM: Penguatkuasaan semata-mata bagi mengekang pencemaran yang berlaku tidak relevan lagi sebaliknya kerajaan negeri perlu melakukan pendaftaran kimia bagi setiap premis perindustrian.
Wakil Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (EPSM), Dr. Lee Jing berkata, kerajaan negeri tidak boleh bergantung dengan penguatkuasaan sahaja terutama apabila melibatkan jumlah petugas yang tidak mencukupi untuk membuat pemantauan dan kawalan di kilang-kilang dan premis.
Menurutnya, penggunaan daftar kimia merupakan salah satu langkah masa panjang yang membantu kerajaan untuk melindungi ekosistem alam sekitar daripada terus dicemari.
“Daftar kimia dapat membantu kerajaan mengesan pemilik kilang atau premis yang tidak bertanggungjawab membuang sisa-sisa kimia ke dalam sistem saliran.
“Kajian berkenaan daftar kimia ini pernah dibuat sebelum ini di peringkat kementerian untuk mengurus tadbir bahan-bahan kimia di seluruh negara.
“Malah, melalui daftar kimia akan memudahkan pihak penguat kuasa mengesan premis yang terlibat membuang sisa tersebut ke dalam sistem saliran atau kumbahan selain tidak perlu mengambil masa untuk menyemak bahan toksid yang dibuang dan hanya perlu periksa rekod dalam simpanan daftar kimia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai pencemaran air di Selangor yang kerap berlaku sehingga menjejaskan jutaan pengguna.
Baru-baru ini, pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor dikesan dan dipercayai berpunca dari kawasan perindustrian kecil di Jalan Velox, Rawang dekat sini.
Ekoran kejadian, empat Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Fasa 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas.
Pencemaran itu mengakibatkan lebih enam juta pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pembangunan Persekitaran Fakuliti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, sudah tiba masanya penggunaan beberapa akta dikuatkuasakan bagi mengekang pencemaran yang berlaku.
“Penguatkuasaan terhadap aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada pencemaran bau perlu dijalankan secara tegas.
“Kerajaan boleh mengguna pakai beberapa akta seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan lain-lain bagi menghukum pencemar bau ke dalam sistem saliran.
“Selain itu, kesedaran masyarakat termasuk pengusaha premis dan kilang sendiri yang menentukan perbuatan mereka. Sekiranya kesedaran tidak ada, aktiviti tersebut akan berlaku secara berterusan,” ujarnya. – UTUSAN